Posted by
gedungilmu
 | Friday, 13 May 2011 | 0
comments
 
Umno Selangor sudah bersedia menawan balik negeri Selangor dengan  menyasarkan BN memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Timbalan  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata  UMNO dan BN mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi pilihan raya  umum itu dan yakin dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat negeri  itu untuk memilih semula BN. 
"Kita sudah bersiap  sedia seolah-olah esok pilihan raya dan kita beri tumpuan penuh pada  kawasan 'putih' dan 'kelabu' di Selangor yang kita yakin beroleh  kemenangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan  Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.
Ketika  ini, jumlah kerusi dalam DUN Selangor ialah 56 dengan Pakatan Rakyat  mempunyai 35 kerusi manakala BN sebanyak 20 kerusi dan seorang ADUN  bebas.

Beliau  berkata rakyat Selangor kini sudah mula melihat banyak kepincangan yang  berlaku dalam kerajaan negeri di mana banyak janji-janji pilihan raya  umum lalu masih belum dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu.
Mengulas  program Gelombang Merah oleh UMNO Kelantan, Noh yakin program itu dapat  mengembalikan semula Kelantan kepada BN pada pilihan raya umum nanti  berdasarkan kepada sambutan rakyat terhadap program tersebut.

Sementara  itu, Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata  semua kawasan Parlimen di seluruh negara kini mendapat peruntukan khas  sebanyak RM100,000 bagi membantu golongan petani kecil.
"Saya  serahkan peruntukan ini kepada semua Pengerusi Pembangunan Pertanian  Parlimen untuk mereka melaksanakan projek-projek kecil pertanian bagi  membantu petani," katanya.
- Bernama
 
Komen Anda
0 Responses to "PRU 13 : UMNO sasar rampas Selangor"